Tuesday, February 22, 2011

Lukman Al-Hakim (Kisah si Anak dan Kaldai)

Saya dengar kisah ini melalui ceramah Maulidur Rasul yang diadakan di Surau Al-Muhtadin, Emerald baru-baru ini oleh Ustaz Zahidi.

Ia adalah kisah yang baik untuk kita mengatasi atau enghadapi pandangan manusia. Contohnya, sekarang ini saya tidak pedulikan apa yang orang cakap mengenai diri saya. Saya sudah berani pakai serban dan jubah. Kerana ia adalah sunnah rasulullah. Sampai bila kita hendak dengar apa orang cakap?

Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan pandangan manusia, Luqman al-Hakim telah membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Mulanya, Luqman al Hakim telah menaiki keldai itu, anaknya pula yang mengendalikan keldai itu sambil berjalan kaki, maka orang ramai berkata :
"Inilah orang tua yang tidak mengasihani anaknya, dia bersenang lenang di atas keldai, anaknya pula berjalan kaki!"

Berikutnya, Luqman al-Hakim menaikkan anaknya ke atas keldai dan beliau sendiri pula yang mengendalikan keldai dengan berjalan kaki, maka orang ramai berkata :
"Sungguh biadap anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai!”

Seterusnya, Luqman al Hakim bersama anaknya menaiki keldai itu bersama-sama, maka berkata pula orang ramai :
"Lihat!, seekor keldai membawa dua orang!, alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!”

Akhirnya, Luqman al Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai itu dan membiarkan ia kosong saja, orang ramai berkata lagi :
"Alangkah anehnya, keldai dibiarkan kosong tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja!”

Pengajaran

Kepuasan atau persetujuan dari SEMUA pihak yaitu manusia adalah sesuatu yang tidak mungkin dicapai.
Inilah yang kita katakan pandangan manusia, pandangan yang selalunya silap, jika dibandingkan dengan pandangan Allah. Sangat benar, pandangan manusia itu sering berbeza-beza, setiap apa yg dilakukan pasti ada saja yang kurang bersetuju, mungkin majoriti, mungkin juga minoriti, tapi hakikatnya pasti ada perbezaan.

Melihatkan kisah ini, saya tidak mengatakan yang orang ramai yang memberi komen-komen itu jahil atau silap, ada benarnya setiap komen itu bukan?, ya, memang ada benarnya, saya akui itu, tetapi setiap komen itu datangnya dari pandangan manusia yang pastinya banyak kekurangan,
saya mahu tanya, jika orang ramai itu tahu kenapa Luqman al-Hakim berbuat demikian, iaitu utk mendidik anaknya, adakah komen yang sebegitu akan diberikan?, pasti tidak bukan?…begitulah manusia, ia tidak mengetahui apa yang terselindung, apa yang tersembunyi.
Apabila berhadapan dengan pandangan manusia dalam menilai sesuatu, apa yang dikatakan mungkin sangat jujur, namun hakikatnya, manusia akan berkata dengan apa yg dia tahu dan lihat sahaja, sedangkan mungkin masih banyak perkara yang tersembunyi yang tidak ia ketahui dan fahami, ia mungkin satu bentuk kejujuran, namun jujurnya pendapat itu bukanlah boleh menafikan pandangan Allah.
Kerna inilah kita perlu sentiasa memohon untuk melihat dengan pandangan Allah yang sentiasa benar, namun seringkali pandangan Allah itu akan diganggu oleh syaitan laknatullah, kerna itu sumpah setia syaitan, memalingkan manusia dari kebenaran, ia bukan silap manusia lain,
bukan silap siapa2, tetapi silap kita sendiri jika masih mahu melihat dengan pandangan manusia yg serba kurang. Kitalah yg lebih tahu situasi yang sebenar, dan Allah lah yang lebih2 lagi Maha Mengetahui.
Kejujuran perlu datang dengan pakej hikmah, ikhlas, dan benar. Tidak bijak jika jujur datang tanpa tiga perkara itu. Malah kejujuran yang sebenar adalah kejujuran yang membuat diri lebih dekat dengan pencipta. Pandangan manusia seringkali tersilap, pandangan Allah adalah yang haq, jadi pandangan mana kita mahu ikuti?. Lihatlah dengan hati yang dipandu Allah.

Berkata Luqman al Hakim kepada anakandanya selepas kisah keldai di atas :
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu ”

No comments:

Post a Comment